Pengambilan suplemen kalsium tanpa magnesium dikatakan akan menyebabkan
kalsium terkumpul di bahagian tertentu tubuh, bukan dalam tulang.
Ia juga meningkatkan risiko batu karang, artritis, penyakit jantung
koronari dan strok! Penghidap penyakit jantung dan diabetes jenis dua
yang mengambilnya pula dipercayai akan menyebabkan keadaan mereka tidak
berubah atau semakin parah.
Pada 14 April 2011, British Medical Journal telah melaporkan sebuah
analisa berskala besar berdasarkan keputusan lima kajian klinikal yang
dijalankan di Amerika Syarikat, United Kingdom dan New Zealand.
Kesimpulan analisa yang melibatkan lebih dari 8,000 orang itu
menunjukkan suplemen kalsium meningkatkan risiko beberapa jenis masalah
kardiovaskular terutama serangan jantung.
Dr Carolyn Dean, MD, ND, pakar magnesium dan juga pengarah perubatan di
Nutritional Magnesium Association (http://www.nutritionalmagnesium.org)
berkata, kira-kira 30 hingga 40 tahun dahulu, doktor mula
mempreskripsikan kalsium secara rutin kepada ramai golongan lelaki dan
kebanyakan wanita berusia melebihi 40 bagi mengurangkan kesan
osteoporosis berpunca dari proses penuaan.
Ilmu perubatan konvensional memberitahu, punca pereputan tulang ialah
kekurangan kalsium. Namun sebuah kajian berjudul ‘Calcium, vitamin D,
milk consumption, and hip fractures: a prospective study among
postmenopausal women.’ yang diterbitkan dalam
American Journal of Clininal Nutrition (2003) menunjukkan sebaliknya.
“Selepas 40 tahun didapati pengambilan kalsium semata-mata tidak
memberhentikan pereputan tulang atau memperlahankannya. Ia tidak
berupaya mencegah osteoporosis.”
Amat penting
Sesungguhnya magnesium merupakan unsur amat penting untuk kesihatan
tubuh. Setiap organ dalam tubuh manusia terutama jantung, otot dan buah
pinggang memerlukan mineral magnesium.
Antara lain ia amat penting dalam menggiatkan aktiviti 300 jenis enzim
dan memainkan peranan dalam penjanaan tenaga (pembinaan adenonosin
triphosphate). Ia juga diperlukan bagi mengawal paras kalsium selain
kuprum, zink, kalium, vitamin D dan pelbagai nutrien penting dalam
tubuh.
Seperti dinyatakan di atas, mendekripsi suplemen kalsium semata-mata
tanpa gandingan mineral magnesium mengundang padah. Kajian demi kajian
menunjukkan kalsium dalam bentuk suplemen sepatutnya diambil dengan
gandingan magnesium pada kadar 2:1.
GreenMedInfo.com melaporkan bahawa penyelidik telah mengesan 3,751
tapak pelabuhan magnesium pada pelbagai protein dalam tubuh manusia.
Peranan magnesium kepada kesihatan manusia dan penyakit dikatakan kurang
dihiraukan oleh pengamal perubatan moden dan pakar nutrisi
konvensional. Kedua-dua golongan menumpukan preskripsi ubatan (sumber
pendapatan) dan penggunaan bahan dipelajari di bangku universiti sahaja.
Ramai tidak tahu ia adalah mineral penting dalam pengawalan tekanan
darah dalam arteri dan merehatkan otot. Paras magnesium dalam sel adalah
lebih tinggi berbanding di luar sel ketika tekanan darah normal dan
otot dalam keadaan rehat. Pada masa sama paras kalsium lebih tinggi di
luar sel berbanding di dalam sel.
Apabila kalsium masuk ke dalam sel dan magnesium keluar dari sel maka
tekanan darah arteri berkurangan dan otot berada dalam keadaan rehat.
Pada keadaan ini paras magnesium di luar sel adalah lebih tinggi di luar
sel berbanding di dalam sel. Paras kalsium di dalam sel pula lebih
tinggi di dalam sel berbanding di luar sel.
Ubatan penghalang beta (beta-blocker) dan penghalang laluan kalsium
(calcium channel blocker) biasa di preskripsi oleh doktor kepada mereka
yang menghidap penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.
Penghalang beta bertindak menghalang tubuh dari didominasi oleh Sistem
Saraf Simpatetik. Ini menyebabkan Sistem Saraf Para Simpatetik
mendominasi tubuh dan seterusnya menyebabkan sel otot dan sel arteri
mengembang. Keadaan ini menyebabkan otot berehat dan tekanan darah
berkurangan.
Ubatan penghalang laluan kalsium pula menghalang kemasukan kalsium ke
dalam sel arteri dan otot. Ini menyebabkan otot berehat dan tekanan
darah berkurangan. Ramai tidak mengetahui pengambilan suplemen magnesium
(dalam bentuk sebatian tertentu) berupaya membantu otot jantung berehat
dan mengembangkan arteri (mengurangkan tekanan darah).
Ramai juga tidak tahu magnesium berupaya mengawal paras gula darah pada
mereka yang mengalami diabetes jenis 2 (type 2 diabetes). Kalsium
sendiri ialah bahan digunakan oleh sel beta pankreas untuk merembes
insulin.
Sesungguhnya paras kalsium yang tinggi menyemarakkan keadaan
hiperinsulinemia. Hiperinsulinemia ialah keadaan di mana paras hormon
insulin dalam darah tinggi, iaitu keadaan biasa yang dialami penghidap
diabetes jenis 2.
Ramai saintis percaya hiperinsulinemia berlaku berpunca daripada
reseptor (tapak berlabuh) insulin yang terletak pada sel tidak berfungsi
untuk membantu insulin berlabuh. Hakikat yang berlaku ialah paras gula
sering kali tinggi seperti dialami penghidap diabetes menyebabkan paras
magnesium dalam tubuh berkurangan.
Hiperinsulinemia dan hiperglisemia
Mengambil suplemen magnesium (dalam bentuk sebatian tertentu) dikatakan
menyebabkan kalsium keluar dari sel beta pankreas. Apabila paras
magnesium mendominasi sel beta pankreas maka hiperinuslinemia dan
hiperglisemia (paras glukos tinggi) berupaya diredakan.
Pada masa sama, reseptor insulin pada membran sel akan berfungsi secara
normal dan menerima semula hormon insulin untuk berlabuh.
Ketidakpekaan reseptor insulin berpunca daripada hiperinsulinemia
menyebabkan pengangkut glukos dikenali sebagai GLUT4 tidak dibina pada
paras sepatunya. Sebaliknya jika reseptor insulin berfungsi sempurna,
maka GLUT4 dibina oleh sel pada paras sepatutnya dan akan berada pada
membran sel. GLUT4 berfungsi dengan menyambut glukos untuk dibawa ke
mitokondria (kilang penjanaan tenaga dalam sel).
Jika orang ramai tahu mengenai peranan dan kegunaan magnesium dalam
tubuh, penulis percaya berita mengenai kejadian kesan sampingan negatif
seperti penyakit buah pinggang, hepatitis, hati kecut dan serangan
jantung berpunca dari pengambilan ubat-ubatan moden untuk merawat
penyakit jantung koronari dan diabetes jenis 2 akan berkurangan.
Setakat ini projek pangkalan data GreenMedInfo.com menyenaraikan lebih
dari seratus kebaikan magnesium. Ia termasuk kebaikan terapeutik untuk
fibromyalgia, denyutan jantung tidak sekata, diabetes jenis 2 dan
sindrom premenstruasi.
Terdapat pelbagai faktor yang mengurangkan paras magnesium dalam tubuh
seperti antara lain makan berlebihan, tubuh bertoksin, makan ubat-ubatan
moden secara berpanjangan, stres emosi kronik, mengambil makanan
terproses, mengambil makanan tinggi gula, menghisap rokok, minum arak,
mengalami diabetes dan penyakit kronik.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peranan dan kegunaan magnesium
bagi mengawal penyakit jantung koronari dan diabetes jenis 2 pembaca
dinasihatkan membaca dua buku penulis yang masing-masing berjudul
Serangan Jantung dan Diabetes Jenis 2.
sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment