Kebanyakan ibu-ibu yang mempunyai penyakit sawan, juga dikenali
sebagai epilepsi, boleh mengandung normal dan seterusnya melahirkan
zuriat yang sihat. Namun begitu, penyakit sawan ini mempunyai risiko
semasa mengandung, lazimnya puan sudah pun tahu yang puan menghidapi
penyakit sawan dan dengan utuh dalam perhatian pakar perubatan
dalaman/pakar neurologi. Doktor-doktor ini akan menasihati puan sebelum,
semasa dan juga selepas bersalin.
Di hospital peringkat termaju seperti Hospital USM, puan akan
menjalani pemeriksaan mengandung di klinik antenatal berkongsi dengan
doktor pakar perubatan. Mereka memberikan penjagaan perubatan serta
obstetrik yang optimum supaya kesejahteraan puan serta janin selamat
serta tidak berkomplikasi.
Artikel ini akan membimbing puan ke arah,
1. Penjagaan sebelum mengandung.
2. Risiko yang mungkin pada puan serta janin.
3. Perawatan semasa mengandung.
Penyakit sawan dan wanita
Sel saraf di otak menjanakan isyarat berelektrik dalam penghantaran
maklumat ke seluruh anggota badan. Maklumat ini bertanggungjawab dalam
pengendalian fungsi serta pergerakan badan. Mereka yang mempunyai
penyakit sawan, pengendalian serta pengawasan fungsi ini terganggu,
langsung memberikan manifestasi dari segi kelakuan, kekejangan otot-otot
dan juga sawan.
Hormon wanita iaitu estrogen dan juga progesteron boleh memberikan
kesan pada keabnormalan sawan. Sebarang perubahan di antara
hormon-hormon tersebut memungkinkan peningkatan ataupun penurunan
frekuensi serangan sawan. Mungkin juga pola serangan sawan berubah
semasa mengandung dan juga seawal selepas bersalin.
Ubat antisawan/antiepilepsi dapat mengawal serangan sawan, doktor
mungkin terpaksa preskripsi beberapa kategori antisawan sebelum ubat
yang paling sesuai untuk puan ditetapkan.
Persedian untuk mengandung
Kadangkala ubat antisawan dikurangkan secara perlahan-lahan sekiranya
sejarah kesihatan puan tidak ada kehadiran serangan sawan untuk 2 tahun
atau lebih. Mungkin juga doktor tidak mengesyorkan penurunan dos
antisawan, mungkin ubat puan akan ditukar pada ubat antisawan jenis
lain. Walaubagaimanapun, puan dinasihatkan supaya memberitahu doktor
akan niat untuk mengandung seawal mungkin. Sesetngah ubat membahayakan
janin, walaubagaimanapun, serangan sawan lebih merbahaya pada puan serta
janin. Pakar perbidanan dan juga pakar perubatan dalaman /neurologi
akan berusaha menyelesaikan mencari dos optimum yang bersesuaian, jenis
ubat yang selamat dan menghindarkan serangan sawan semasa mengandung.
Ubat antisawan ini memberikan kesan pada penggunaan asid folik oleh
badan. Ketidakcukupan asid folik boleh mencacatkan janin. Oleh itu
dinasihatkan walaupun tidak berniat untuk mengandung, pengambilan asid
folik perlu dilakukan setiap hari.
Sebanyak 0.4 mg asid folik perlu diambil setiap hari sebelum
mengandung dan juga semasa tiga bulan mengandung untuk mengurangkan
insiden kecacatan janin. Pakar pemakanan di hospital, jika di HUSM,
mereka ditempatkan di klinik dietitik, boleh membantu puan dalam
pengambilan makanan tempatan yang kaya dengan asid folik.
Risiko pada wanita
Kekerapan serangan berubah semasa mengandung, ada yang menjadi lebih
kerap, ada juga yang seperti sebelumnya dan ramai pula yang menjadi
lebih selesa. Paras ubat antisawan dalam darah puan perlu diamati
sekiranya serangan semakin kerap. Disebabkan perubahan ketara fisiologi
badan semasa mengandung, perubahan hormon dan juga perubahan terhadap
metabolisma badan terhadap ubat, ujian darah diperlukan untuk menentukan
keberkesanan dos ubat antisawan yang diberikan.
Risiko pada bayi
Secara keseluruhan, risiko untuk mendapat bayi yang cacat dalam
populasi adalah sekitar 2-3%, tetapi dengan penyakit sawan, nilai ini
bertambah menjadi sekitar 6-8%. Risiko ini juga berkait dengan jenis
ubat antisawan yang digunakan. Di antara jenis-jenis lazim kecacatan
bayi adalah seperti:
1. Sumbing bibir serta lelangit pada mulut.
2. Keabnormalan tiub neural, contohnya spina bifida.
3. Bayi yang rendah berat kelahirannya
4. Kepala kecil
5. Ketandusan dari segi tumbesaran serta perkembangan.
6. Terencat mental
7. Masalah pembekuan darah
8. Masalah sawan pada masa hadapan.
Kelahiran
Kelahiran secara normal dibolehkan, kelahiran secara pembedahan hanya apabila pemasalahan obstetrik timbul.
Jagaan selepas bersalin
Perubahan fisiologi badan puan selepas bersalin ke arah sebelum
mengandung mengharuskan pertukaran dos dan jenis ubat antisawan yang
digunakan. Ubat antisawan ini juga boleh menganggu paras hormon di badan
puan. Ini memberikan kesan keberkesanan pada kaedah perancangan
keluarga. Mungkin kaedah berlandaskan hormon menjadi kurang berkesan dan
perlu diiringi dengan penggunaan metoda lain seperti kondom, ubat
pembunuh sperma dan sebagainya.
Sejurus kelahiran, bayi akan disuntik dengan vitamin K, ini adalah
kerana paras vitamin K yang kurang dengan penggunaan ubat antisawan.
Vitamin K membantu dalam sistem pembekuan darah.
Penyusuan badan dibenarkan, hanya sedikit sahaja paras ubat antisawan
terdapat dalam susu badan, walau bagaimanapun, ketetapan ini akan
ditentukan oleh doktor yang merawat puan.