“ANEMIA boleh menyebabkan kekurangan kalsium ketika mengandung.” - Wanita 1
“Kalau anemia masa hamil, anak boleh cacat.” - Wanita 2
LUAHAN dua wanita itu menerusi paparan slaid mengenai hasil tinjauan
rambang wanita tempatan ketika bengkel’ Kehamilan dan Anemia : Lebih
Lazim daripada yang Anda Jangka - Panduan Memastikan Ibu Sihat
Sejahtera, di ibu negara, baru-baru ini amat mengejutkan.
Apa tidaknya, kenyataan mereka yang dibentangkan pada program anjuran
Merck Consumer Healthcare itu turut membuktikan betapa ceteknya
pengetahuan masyarakat mengenai masalah anemia kekurangan zat besi
ketika hamil biarpun ada di antara mereka sedang mendukung bayi berusia
kurang setahun.
Malah, ramai wanita mengandung juga menganggap kesan letih, emosi
terganggu atau lemah badan hanyalah simptom biasa dialami akibat
perubahan hormon kehamilan terhadap tubuh. Namun apakah benar
sedemikian?
Persepsi itu salah kerana kajian menunjukkan satu bagi setiap tiga
wanita yang mengalami simptom sebegitu sebenarnya mengalami masalah
lebih serius iaitu anemia yang bukan saja kekurangan darah, tetapi
kurang zat besi.
Di Malaysia, 35 peratus wanita hamil mengalami anemia ringan dan
kebanyakannya kaum India dan Melayu manakala 47.5 peratus wanita luar
bandar disahkan anemia ketika lawatan antenatal pertama.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr Premitha Damodaran, berkata wanita
yang mengalami risiko anemia perlu merancang dan menjaga diri semasa
hamil serta selepas melahirkan anak dengan mengawasi paras darah mereka.
“Zat besi adalah komponen utama dalam sel darah merah yang menghantar
oksigen ke seluruh badan bagi memastikan kelangsungan hidup dan apabila
sel darah merah kurang daripada paras normal (kurang daripada 12-15
mg/dl), wanita itu menghadapi risiko anemia paling umum iaitu kekurangan
zat besi.
“Ia mungkin berlaku disebabkan badan kekurangan zat besi akibat diet
tidak seimbang, penyerapan rendah, kesan sampingan ubat tertentu,
genetik misalnya penyakit talasemia, kehilangan banyak darah terutama
akibat haid dan kehamilan.
“Faktor lain penyebab anemia boleh juga diakibatkan pengambilan gizi
tidak seimbang, hemoglobinopathy (keganjilan hemoglobin dalam darah),
kehilangan darah akibat ulser perut dan buasir serta parasit,” katanya.
Jelas Dr Premitha, wanita hamil memerlukan zat besi tambahan bagi
menghasilkan lebih banyak darah untuk menampung keperluan diri dan juga
bayi.
Katanya lagi, dianggarkan bahawa wanita memerlukan lebih banyak zat
besi semasa hamil iaitu tambahan daripada 15 kepada 27 mg/dl sehari.
“Wanita hamil yang mengalami anemia kekurangan zat besi hendaklah
sedar, kesannya bukan sekadar gejala pucat, letih, lesu dan sesak nafas
saja.
“Anemia semasa hamil dan selepas melahirkan anak sering dikaitkan
dengan tahap lebih serius seperti keguguran, kelahiran pramatang, berat
badan bayi rendah dan meningkatnya risiko kematian ibu.
“Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), anemia kekurangan darah
juga menjadi penyebab keganjilan perangai terhadap anak, lemah tahap
pembangunan mental berbanding rakan sebaya,” katanya.
Dr Premitha berkata, anemia semasa hamil boleh ditentukan melalui
proses diagnosis yang bermula dengan menentukan tahap hemoglobin dalam
badan melalui ujian darah.
“Sebaiknya, ujian darah dilakukan sebelum merancang kehamilan tapi
malangnya, ramai wanita hanya berjumpa doktor apabila sudah mengandung
dan disahkan mengalami anemia ringan semasa ujian darah dijalankan,”
katanya.
Bagi wanita hamil, pemeriksaan hemogblobin darah menjadi saat sukar
bagi segelintir bakal ibu, bimbang jika tidak melepasi tahap normal ibu
hamil iaitu lebih 11g/dl.
Justeru, bagi menambah zat besi apabila sedang cuba mengandung, semasa
dan ketika menyusukan bayi, wanita digalakkan meningkatkan pengambilan
makanan kaya zat besi seperti ayam, sayur daun hijau, kekacang, hati,
bijiran penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, kekacang,
tembikai dan labu, bijan serta tauhu.
Dalam kebanyakan kes, doktor mengesyorkan pengambilan pil zat besi
tambahan bagi merawat anemia dan ibu hamil boleh memilih rumusan sesuai
tubuh khususnya bagi yang sukar menerima rasa logam pil zat besi dan
mereka berdepan kesan sampingan seperti sembelit.
“Ketahuilah bahawa vitamin C mampu meningkatkan serapan zat besi
manakala teh, kopi dan produk tenusu pula merencatkan serapan jika
diambil bersama zat besi tambahan.
“Jadi, sebaik-baiknya pengambilan pil zat besi tambahan diambil secara
berasingan dengan teh, kopi dan produk tenusu serta kalsium iaitu
sekurang-kurangnya satu hingga dua jam sebelum.
“Pengambilan makanan kaya zat besi dan pil tambahan hendaklah
diteruskan sehingga ibu berhenti menyusukan bayi atau sehingga enam
bulan selepas melahirkan,” katanya.
INFO
1. Anemia kekurangan darah biasa dialami:
* Penduduk luar bandar
* Ibu kembar
* Ibu kerap hamil
* Vegetarian
* Remaja
* Perokok
* Penghadaman terganggu
2. Makanan merencat penyerapan zat besi dalam darah
* Teh, kopi, koko, wain merah
* Bayam
* Lemak
* Bijirin. produk soya
* Susu, produk tenusu, kalsium
* Ubatan berunsur keasidan, phytates, phenols
* Magnesium, tetracyclines, thyroxine
3. Makanan membantu penyerapan zat besi dalam darah
* Daging merah, telur kuning, ikan
* Sayuran kecuali bayam
* Salad, buah, jus buah mengandungi vitamin C
* Gula
* Cuka
Sumber : bharian.com.my
No comments:
Post a Comment